Sunday, 29 April 2012

Sesuatu Yang Saya Belajar Tentang Wang

Saya belajar bahawa wang tidak mempunyai nama, maka dengan itu,wang bebas mengalir kepada sesiapa yang menginginkannya.
Dan inilah hakikatnya, kerana ia tidak bernama, ia bebas berpindah tangan dari seseorang kepada seseorang yang lain, mengikut bagaimana ia di’jaga’.
Jika tuan punya wang tidak berdisiplin mengendalikannya, wang akan terbang keluar lebih cepat dari masuk ke poket tuannya.
Walaupun seseorang itu berpendapatan jutaan ringgit setahun, jika wang gaji itu tidak diselenggarakan dengan betul dan disimpan/dilaburkan, dia masih akan menghadapi kesukaran kewangan.
Sebaliknya, walaupun pendapatan seseorang itu kecil, tetapi dia menyelenggarakan kewangan dengan betul, dia masih boleh menyimpan dan melabur untuk membina kewangan yang kukuh.
Rata-rata kita rasakan sangat ‘biasa’ bagi kita berbelanja lebih hanya kerana kita dapat lebih.
Kita jarang boleh mengikut rancangan kewangan kerana kebanyakan kita sentiasa‘digoda’ oleh pembelian-pembelian luar jangka yang nampak dan rasa sangat mesti dibelanjakan!
Oleh itu ramai yang salah anggap tentang fungsi pendapatan bulanan.
Ramai yang menganggap pendapatan bulanan adalah untuk dibelanjakan bagi keperluan bulan ini sahaja, bulan hadapan dan tahun-tahun hadapan ada pendapatan lain untuk kita!
Maka ramai yang menyalah anggap bahawa jika mereka dapat pendapatan lebih besar, itu akan menyelesaikan masalah kewangan mereka.
Jadi ramai yang bekerja bertungkus-lumus untuk menaikkan pendapatan, dan berjaya mendapatkan pendapatan yang lebih baik itu, tetapi tetap tidak cukup, kerana ‘besar periuk, besar kerak nasinya.’
Ini adalah kerana, perbelanjaan mereka telah menyamai atau melebihi pendapatan.
Dengan mengubah cara kita mengagihkan pendapatan supaya lebih ke arah menyimpan untuk masa depan dan memotong perbelanjaan yang dibuat secara emosi, kita akan serta merta mendapat duit lebihan untuk masa depan.

“Besar periuk,banyak beras boleh masuk!”

Itulah prinsip yang lebih baik yang saya anggap membawa maksud lebih pendapatan lebih simpanan, beras yang masuk itu adalah wang yang dapat disimpan untuk keperluan kita di masa depan!
Ilmu kewangan ini sebenarnya boleh dipelajari, iaitu belajar bagaimana menguruskan kewangan dengan bijak dan menguntungkan.

No comments:

Post a Comment